Polis cekup lelaki campak 3 kucing dari tingkat 15 pangsapuri di PJ


  • 112
  • Rabu, 19 Okt 2022

Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan menahan seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu. — Bernama

POLIS berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai menganiaya binatang dengan mencampak tiga ekor kucing dari tingkat 15 sebuah apartment di Jalan PJS 8/9, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, penduduk di kawasan tersebut membuat laporan polis sejurus melihat tindakan yang dilakukan oleh suspek itu.

"Polis menerima laporan seorang individu kira-kira pukul 9.37 malam berkaitan seorang lelaki didakwa mencampak tiga ekor kucing di lokasi kejadian.

"Sepasukan anggota polis kemudian pergi ke lokasi dan menahan seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, pemeriksaan di sekitar lokasi menemui tiga ekor kucing yang tidak bernyawa bersama suspek.

"Siasatan dijalankan mendapati suspek mengakui terlibat dalam kejadian.

"Suspek kini direman dan disiasat bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

campak kucing, diberkas, petaling jaya, polis