Permohonan undi pos kini dibuka serta-merta — SPR


  • Politik
  • Isnin, 10 Okt 2022

Keputusan itu dibuat selepas SPR mengambil maklum akan pengisytiharan pembubaran Parlimen Penggal ke-14.

PERMOHONAN undi pos secara dalam dan luar negara bagi warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kini dibuka serta merta.

Manakala, tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat bagi menentukan tarikh-tarikh pilihanraya.

Setiausaha SPR Malaysia, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, keputusan itu dibuat selepas SPR mengambil maklum akan pengisytiharan pembubaran Parlimen Penggal ke-14 yang dibuat oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin.

"Sehubungan itu, untuk permohonan undi pos bagi Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media) hendaklah memohon secara manual menggunakan Borang 1A yang dimuat turun dari portal rasmi SPR di laman web https://www.spr.gov.my.

"Borang tersebut harus dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Katanya lagi, bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan 1C (agensi atau organisasi) pula, permohonan hendaklah dikemukakan secara dalam talian melalui portal https://www.spr.gov.my.login.

SPR juga ingin memaklumkan bahawa satu mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU15 dengan turut mengambil kira pelaksanaan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah akan dilaksanakan pada satu tarikh yang kan dimaklumkan kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram