PRU15: PM tak dipengaruhi mana-mana pihak, ambil kira semua pandangan


  • Politik
  • Selasa, 04 Okt 2022

Ismail Sabri ketika berucap pada sesi dialog awam sempena Majlis Perasmian Idea Bina Negara (IBN) 2022 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, pada Selasa. — Foto Bernama

PERMINTAAN beberapa parti politik yang meminta supaya pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat ditangguhkan tidak akan mempengaruhi keputusan beliau, kata Ismail Sabri Yaakob.

Namun, menurut Perdana Menteri, setiap pandangan dan cadangan akan dilihat dan diteliti.

Beliau berkata, segala pandangan dan cadangan yang diutarakan parti-parti politik berkenaan pembubaran Parlimen tidak boleh mengubah dan mempengaruhi kuasa Perdana Menteri untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan pembubaran Parlimen sepatutnya tidak melibatkan perbincangan secara terbuka termasuk membabitkan parti kerajaan dan pembangkang, sebaliknya akan dilakukan sekiranya Perdana Menteri merasakan Parlimen wajar dibubarkan.

"Keputusan pembubaran ini tidak ada kena mengena dengan parti politik lain. Sebelum ini pun tidak pernah dibincang secara terbuka macam ini tentang tarikh pembubaran Parlimen dan sebagainya.

"Dahulu Perdana Menteri umum bubar, bubarlah Parlimen," katanya katanya kepada media selepas majlis perasmian program Idea Bina Negara, Kuala Lumpur pada Selasa.

Tambah beliau lagi, belum ada lagi parti politik lain bagi pandangan dan campur tangan dari segi pembubaran.

"Tak pernah, bukan setakat perundingan dengan parti lain, parti sendiri tidak ada perbincangan dulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan beberapa parti politik yang tidak bersetuju Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram