PRU15: Waktu mengundi dilanjut sejam — Wan Junaidi


  • Politik
  • Selasa, 04 Okt 2022

Masa mengundi dilanjutkan selama sejam untuk memberi lebih banyak masa kepada orang ramai membuang undi pada PRU15.

BEBERAPA penambah baikan akan dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk memanjangkan masa mengundi selama sejam, kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata, perkara itu bertujuan memberi lebih banyak masa kepada orang ramai untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Beliau berkata, langkah-langkah itu juga akan dilaksanakan bagi memastikan pilihan raya dijalankan secara cekap, adil dan telus.

"Waktu mengundi akan dilanjutkan selama sejam, bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang di Semenanjung dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak.

"Pelanjutan ini akan memberi lebih banyak masa kepada pengundi untuk membuang undi," katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Seri Muhkhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mukhriz sebelum itu bertanya mengenai langkah-langkah yang akan diambil SPR bagi memastikan peratusan keluar mengundi adalah tinggi, serta menjamin ketelusan proses pengundian semasa PRU15.

Pada masa sama, Wan Junaidi berkata, bilangan pusat dan saluran mengundi juga akan ditambah dengan mengambil kira Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik.

Beliau berkata, ini bagi mengelak sebarang kesesakan di pusat dan saluran mengundi.

Tambahnya, lorong khas untuk pengundi berumur 60 tahun ke atas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) juga akan disediakan dan dihadkan kepada 450 pengundi.

Malah, katanya, SPR turut akan memansuhkan syarat pengundian pos sebelum ini yang dilaksanakan pada PRU14.

"Dengan pemansuhan itu, warga Malaysia yang berada di luar negara dan merupakan pengundi berdaftar layak memohon sebagai pengundi pos," katanya.

Sebelum ini, hanya mereka yang menetap atau pulang ke Malaysia selama 30 hari atau lebih dalam tempoh lima tahun boleh memohon untuk mengundi secara pos.

Manakala, mereka yang tinggal di selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei, atau Kalimantan, tidak layak untuk mengundi pos dan terpaksa datang ke negara ini untuk mengundi.

"SPR dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta polis memandang serius segala kesalahan dan perlanggaran undang-undang yang berlaku sebelum, semasa dan selepas tempoh berkempen oleh mana-mana parti politik atau calon.

"Sebarang aduan dan pelanggaran undang-undang pilihan raya yang dibuat kepada SPRM dan PDRM akan diambil tindakan susulan," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram