Terperanjat ular sawa dalam mesin basuh kedai dobi di Johor


  • 112
  • Ahad, 02 Okt 2022

Tangkap layar anggota bomba mengeluarkan ular sawa di dalam mesin basuh di Taman Impian Emas, Johor Bahru pada Sabtu. — Bomba Larkin

SEORANG pelanggan yang berhasrat untuk membasuh pakaian di pusat dobi layan diri di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, di Johor Bahru, Johor pada Sabtu, terkejut apabila menemukan seekor ular sawa di dalam mesin basuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Suhaimi Mohd Jamal, berkata, seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada pemilik dobi itu pada pukul 9.41 pagi.

"Pelanggan yang menjumpai ular ketika ingin membasuh baju itu terus memaklumkan kepada pemilik kedai dobi tersebut dan pemilik menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

"Ular sawa tersebut adalah berukuran 1.8 meter (6 kaki) dan seberat 20 kilogram, berada di dalam salah satu mesin basuh dobi itu,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, ular itu yang tidak bertindak agresif, ditangkap dalam masa lima minit dengan menggunakan penjerut dan telah dilepaskan di kawasan yang jauh dari penempatan orang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram