Dua penunggang 'Ysuku' lepas das tembakan di Sitiawan kini dalam buruan polis


  • 112
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Suspek juga cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah namun dipercayai pistol suspek gagal berfungsi sebelum melarikan diri. — Gambar Hiasan

POLIS sedang menyiasat kes di Sitiawan, Manjung, Perak pada Jumaat selepas dua lelaki bermotosikal dipercayai melepaskan tembakan di hadapan sebuah rumah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 1.07 tengah hari daripada seorang lelaki mengenai kejadian di hadapan rumah rakannya.

Beliau berkata, hasil siasatan, polis mendapati pemilik rumah terbabit tinggal bersama isteri dan dua anak.

"Mangsa memaklumkan bahawa isterinya terdengar bunyi letupan di luar rumah kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

"Rakan mangsa yang kebetulan berada di rumah ketika itu keluar untuk memeriksa dan mendapati terdapat kerosakan pada cermin belakang kereta mangsa.

"Dia turut menjumpai kelongsong peluru di bawah kenderaan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Yusri berkata, polis yang memeriksa kediaman itu turut menemukan lubang pada cermin kereta dipercayai kesan akibat tembakan tersebut.

Pada masa sama, polis juga menemukan kelongsong peluru di bawah kenderaan selain kepala peluru di kawasan but kenderaan itu.

"Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran dan melepaskan satu das tembakan lalu terkena kenderaan mangsa.

"Suspek kemudiannya cuba melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah namun dipercayai pistol suspek gagal berfungsi sebelum melarikan diri," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram