Cubaan culik gagal, pesanan 'Cikgu Latifah' selamatkan murid Tahun 1 di Rawang


  • 112
  • Rabu, 28 Sep 2022

Seorang pelajar nyaris menjadi mangsa culik ketika ingin membeli aiskrim berhampiran dengan sekolahnya.

SEORANG wanita membuat laporan polis selepas anaknya nyaris diculik oleh individu tidak dikenali di tempat menunggu bas di hadapan sekolah rendah di Taman Tun Teja, Rawang, Selangor.

Berdasarkan laporan itu, kejadian itu berlaku pada pukul 5.50 petang apabila murid Tahun 1 terbabit mahu membeli aiskrim di luar kawasan sekolah.

Mangsa yang menetap di Taman Setia di Rawang telah dihampiri oleh seorang lelaki yang bertindak menutup mulutnya dengan tangan sebelum budak lelaki itu terus menggigit suspek.

Suspek kemudian telah bergegas melarikan diri dengan menaiki sebuah van, bagaimanapun nombor pendaftaran kenderaan berwarna putih itu tidak dapat dikenal pasti.

majoriti2022 - 1

Laporan polis ibu mangsa yang mengatakan anaknya hampir diculik.

Difahamkan ibu mangsa turut memaklumkan kejadian itu kepada pihak sekolah dan perkara itu telah dihebahkan kepada guru-guru supaya sama-sama peka dengan situasi di kawasan sekolah.

Malahan, ibu mangsa juga memberitahu tindakan anaknya menggigit lelaki tidak dikenali itu kerana teringatkan pesanan 'Cikgu Latifah' yang pernah menasihatkan murid-muridnya supaya bertindak sedemikan jika ada sesiapa cuba menculik mereka.

Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan pihaknya menerima laporan ibu bapa dan penjaga membabitkan cubaan menculik pelajar di dua sekolah berbeza.

Sehingga kini, siasatan terperinci turut dilakukan oleh polis membabitkan perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram