Nyaris rentung, jeritan anak selamatkan 4 sekeluarga


  • Massa
  • Selasa, 27 Sep 2022

Kebakaran di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal yang memusnahkan sebuah rumah, tiga kenderaan dan sebuah skuter. — JBPM Melaka

SEORANG ibu bersama tiga anak perempuannya hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal, Melaka, musnah dijilat api dalam kejadian awal pagi Selasa.

Mangsa Liliwati Kaharudin, 50, berkata, kebakaran pada kira-kira pukul 1.40 pagi itu turut menyebabkan tiga kereta dan sebuah skuter milik mereka musnah.

Beliau berkata, insiden itu disedari anaknya yang berusia 20 tahun yang terbau asap dan mendapati api merebak dari belakang penyaman udara di tingkat bawah rumah mereka.

Katanya, dia terjaga selepas mendengar jeritan anaknya itu, manakala anak sulungnya (berusia 23 tahun) yang masih berjaga segera menjerit memanggil anak bongsunya, 15, yang sedang tidur di bilik atas untuk menyelamatkan diri.

"Saya juga cuba untuk selamatkan satu daripada kereta kami namun tingkap kereta itu tiba-tiba meletup membuatkan saya jadi takut dan membatalkan hasrat,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Liliwati berkata, jiran-jiran cuba membantu memadamkan kebakaran namun api semakin marak sehingga menyebabkan bahagian bawah rumahnya terbakar hampir 80 peratus.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zahrul Azha Mokthar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.45 pagi dan 10 anggota digerakkan ke lokasi.

"Sejurus tiba 10 minit kemudian, kita dapati sebuah rumah dua tingkat berkeluasan 22x70 kaki persegi telah terbakar dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.58 pagi,” katanya.

Katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bomba, kebakaran, rumah, kenderaaan, BBP