Termometer makmal sekolah pecah, pelajar dikejarkan ke hospital di Papar


  • 112
  • Isnin, 26 Sep 2022

Anggota bomba meletakkan serbuk sulfur pada merkuri yang tertumpah.

PELAJAR di Sekolah Menengah Kebangsaan St Mary di Papar, Kota Kinabalu, Sabah cemas apabila termometer di makmal sekolah berkenaan pecah kira-kira pukul 9 pagi, Isnin.

Menurut ketua balai bomba Papar, Roslie Jun, seorang pelajar berusia 16 tahun mengalami kecederaan ringan di tangan selepas terkena merkuri dalam kejadian tersebut.

“Kami menerima panggilan pada pukul 9.26 pagi tetapi ketika sampai ke sekolah, seorang guru sudah membawa pelajar itu ke Hospital Papar,” katanya.

Dia berkata, pihak berkuasa sekolah memberitahunya gadis itu mengalami ruam di tangannya dan mereka cepat menghantarnya ke hospital.

Roslie berkata, anggota bomba segera membersihkan merkuri yang tertumpah dengan serbuk sulfur dan membuang sisanya dengan selamat.

Beliau menambah operasi tamat pada pukul 10.13 pagi.

Dalam kejadian berasingan, tindakan pantas seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Pekan Tenom di pedalaman daerah Tenom, Kota Kinabalu, Sabah menyelamatkan sekolahnya daripada mengalami kerosakan teruk selepas dia memadamkan kebakaran papan suis elektrik utama.

Ketua Balai Bomba Tenom, Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.04 pagi.

“Kami tidak perlu memadam api kerana guru sudah memadamkan api menggunakan alat pemadam api.

“Pasukan bomba hanya perlu memeriksa papan suis bagi memastikan tiada lagi risiko kebakaran dan keadaan dapat dikawal pada pukul 8.12 pagi,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada pukul 8.35 pagi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram