Zahid Hamidi bebas 40 pertuduhan rasuah VLN


Ahmad Zahid melambai tangan kepada penyokongnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam pada Jumaat membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada kesemua 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ahmad Zahid, 69, didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta (RM44 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) semasa menjadi Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat tersebut untuk meneruskan operasi pusat sehenti itu di China dan VLN.

Dakwaan rasuah itu juga bagi memastikan perjanjian kontrak pembekalan sistem bersepadu VLN oleh syarikat itu dikekalkan.

Ahmad Zahid juga dikenakan tujuh pertuduhan tambahan kerana didakwa memperoleh S$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan AS$15,000 dalam kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Beliau didakwa melakukan jenayah itu antara Oktober 2014 dan Mac 2018 di kediaman peribadinya di Country Homes, Kajang dan kediaman rasminya di Putrajaya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram