
NASIB malang menimpa seorang warga emas selepas wanita itu maut dipercayai diserang seekor gajah liar yang mengamuk berhampiran kawasan Dumpas, Jalan Merotai-Kalabakan, Tawau, Sabah pada Jumaat.
Mangsa dikenali sebagai Samsiah Arshad, 50, maut selepas dipijak gajah liar tersebut, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama suaminya, Tahir Salleh, dalam perjalanan untuk melawat cucu mereka di Kongsi 4, Ladang Kelapa Sawit Cenderamata dengan menaiki sebuah motosikal.
Gajah liar yang dipercayai menyerang pasangan suami isteri di Jalan Merotai-Kalabakan. — Awani
Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, kedua-dua mereka diserang mamalia itu tetapi suaminya berjaya menyelamatkan diri.
Selain itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Primus Lambut mengesahkan pihaknya menerima maklumat berkaitan kes amukan gajah liar di kawasan Dumpas.
Menurutnya, gajah itu bukan gajah betina bunting yang sebelum ini dilaporkan sesat memasuki kawasan pekan Merotai.
“Ini gajah lain, gajah betina sebelum ini sudah dihalau ke habitatnya dan gajah yang menyerang mangsa tidak memakai kolar,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin mengesahkan ada menerima laporan awal mengenai kejadian tersebut dan kes masih dalam siasatan. — Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram