Pemandu cuai, kereta hentam bumbung sebelum terjunam ke halaman rumah penduduk di Kota Tinggi


  • 112
  • Khamis, 22 Sep 2022

Sebuah kereta Nissan Sentra hilang kawalan lalu terjunam dan menghentam bumbung sebuah rumah sebelum jatuh ke halaman rumah itu pada Rabu.

SEBUAH kereta hilang kawalan sebelum terjunam ke halaman sebuah rumah penduduk di Jalan Aman, Felda Lok Heng Selatan di Kota Tinggi, Johor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu kira-kira pukul 7.30 malam.

Katanya, kemalangan membabitkan seorang pemandu berusia 22 tahun yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di jalan yang sama.

1746980

Keadaan kereta Nissan Sentra yang terjunam ke halaman sebuah rumah dalam kejadian pada Rabu.

"Hasil siasatan awal mendapati pemandu kereta Nissan Sentra itu hilang kawalan lalu terjunam dan menghentam bumbung sebuah rumah sebelum jatuh ke halaman rumah itu.

"Akibat daripada kemalangan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan iaitu luka kecil di dahi," katanya.

Hussin berkata, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik.

"Ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan lalu lintas tidak sibuk," jelasnya.

Menurut Hussin, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram