Virus Covid-19 masih ada, teruskan pemakaian pelitup muka


  • Massa
  • Ahad, 18 Sep 2022

Kebanyakan pelanggan dan penjaja di medan selera New World Park, George Town masih memilih untuk mengenakan pelitup muka. a

WALAUPUN pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan, orang ramai amat digalakkan untuk berbuat demikian di pusat beli-belah, kata penasihat Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia, Richard Chan.

“Kami menggalakkan orang ramai untuk terus mengenakan pelitup muka di pusat beli-belah.

"Syukurlah keadaan semakin tenang tetapi virus masih ada di mana-mana," katanya.

Richard menjelaskan bahawa kebimbangan ketika ini bukan hanya terhadap Covid-19 sebaliknya kepada jangkitan selesema.

"Bilangan kes selesema biasa agak tinggi, jadi ada baiknya jika terus pakai pelitup muka," tambahnya.

Ujar Richard lagi, walaupun kebanyakan pusat beli-belah menggalakkan pemakaian pelitup muka, tetapi masih ada yang kekal mewajibkannya.

"Terpulang kepada pusat beli-belah itu sendiri tetapi daripada apa yang kita lihat, orang ramai lebih suka dilindungi," katanya.

Sebagai contoh, katanya, pemeriksaan di sekitar George Town, Pulau Pinang mendapati ramai orang masih memilih untuk memakai topeng.

Seorang pemilik bersama sebuah kafe, Vince Ong berkata, dia akan memastikan pekerjanya terus menggunakan pelitup muka.

“Saya mahu mereka terus memakainya kerana ia juga selamat untuk mereka.

“Kebanyakan kakitangan saya adalah pelajar dan saya pasti ibu bapa mereka lebih suka jika mereka dilindungi kerana mereka berurusan dengan ramai pelanggan setiap hari.

“Kami tidak mewajibkan pelanggan memakai pelitup muka tetapi apa yang kami perhatikan, majoriti masih berbuat demikian," katanya.

Pengusaha gerai mi goreng, Mahboob Mohd Zakaria pula akan memakai pelitup muka untuk mengurangkan kebimbangan pelanggan, walaupun dia secara peribadi memilih untuk tidak memakainya.

"Sesetengah pelanggan berasa tidak selesa jadi, saya menggunakan pelitup muka semasa saya memasak,” katanya yang belum pernah dijangkiti Covid-19 setakat ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram