
KETUA Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mendedahkan bahawa tindakan telah diambil terhadap seorang lelaki yang membaling objek ke arah kenderaan dan pengguna jalan raya di kawasan lampu isyarat Kijang, Jalan Hamzah di Kota Bahru, Kelantan pada Selasa.
Jelas beliau, suspek ditahan pada pukul 8.40 pagi ketika rondaan anggota Task Force Balai Polis Kota Bharu yang terserempak dengan lelaki terbabit.
Menurutnya, polis bertindak selepas menerima aduan daripada orang ramai.
"Pada mulanya pemantauan selama 30 minit di kawasan itu tidak menemui lelaki terbabit.
"Rondaan anggota Unit Pelancong dan Rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Kota Bharu kemudian digerakkan dan pemantauan telah menemui suspek," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini tular video di laman sosial memaparkan seorang lelaki yang tidak siuman membaling objek ke arah kenderaan dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.
Mohd Rosdi berkata, semakan mendapati, video itu dirakam pada 6 September kira-kira pukul 5.40 petang.
Katanya, berlaku sedikit pergelutan tetapi suspek yang beralamat di Kampung Paloh, Pintu Geng di sini berjaya ditahan dan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram