Tak mampu bayar bil hospital, budak 9 tahun Kuala Krai rayu jejak ibu terpisah sejak lahir


  • Massa
  • Isnin, 12 Sep 2022

Mohd Adam bersama ibu bapa angkatnya memohon bantuan orang ramai untuk menjejak ibu kandung, Aminah Mina yang terpisah lahir, sembilan tahun lalu. — Sinar Harian

DISEBABKAN tiada dokumen lengkap seorang kanak-kanak lelaki, Mohd Adam Abdullah, 9, memohon bantuan orang ramai untuk menjejaki ibunya yang terpisah sejak lahir, sembilan tahun lalu.

Ibu angkat Mohd Adam, Chema Naemoh, 56, berkata, semasa Mohd Adam diserahkan kepada mereka, ibu kandungnya tidak meninggalkan sebarang dokumen sehingga menyukarkan mereka untuk mendapatkan pengesahan penjagaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohd Adam, yang dilahirkan di Hospital Kuala Krai, Kelantan terpaksa diserahkan kepada keluarga angkat selepas ibunya, Aminah tidak mampu untuk membayar bil hospital.

Chema berkata, kali terakhir dia dan suami, Nasir Setapa, 61, berjumpa Aminah ialah semasa mengambil Mohd Adam di hospital berkenaan.

"Selepas itu kami tidak berhubung, tetapi pelbagai cara dilakukan untuk mencari Aminah namun menemui jalan buntu.

"Sehinggalah kami dimaklumkan Aminah sekarang berada di Thailand," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya lagi, pelajaran Mohd Adam sedikit terganggu dan berharap pertemuan dengan ibu kandungnya mampu mengembalikan fokus dan minatnya terhadap pelajaran.

Menurutnya, mereka merayu kepada sesiapa mengenali atau mengetahui tentang Aminah dapat menghubungi dengan kadar segera di talian 017-2498897. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram