Helikopter hilang, polis aktifkan operasi SAR di Bidor — Ka Siong


  • Primer
  • Ahad, 11 Sep 2022

Wee Ka Siong berkata, helikopter jenis Eurocopter itu dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) kira-kira jam 12.16 tengah hari. - Astro AWANI

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bidor, Perak mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas sebuah helikopter dilaporkan hilang di kawasan hutan di sekitar kawasan tersebut pada Ahad.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, helikopter jenis Eurocopter itu dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) kira-kira pukul 12.16 tengah hari.

Menurutnya, helikopter tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang pada 11.37 pagi dan dijadualkan sampai di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada pukul 12.37 tengah hari.

“Kita akan lakukan apa juga usaha dalam mendapatkan helikopter yang dikatakan telah hilang hubungan dengan KLATCC,” katanya kepada pemberita ketika melawat Stesen Keretapi Ipoh Ahad.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, terdapat seorang juruterbang di dalam helikopter berkenaan.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak CAAM akan mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai kejadian tersebut. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram