Helikopter terhempas langgar pokok getah, 7 tentera cedera


  • Benua
  • Sabtu, 16 Jul 2022

Helikopter itu cuba membuat pendaratan cemas sebelum terlanggar pokok di sebuah ladang getah. — Agensi

SEBUAH helikopter membawa komander tentera wilayah, Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak dan enam yang lain dilaporkan terhempas di daerah Thepa, Songkhla, Thailand pada Jumaat. Kesemua penumpang mengalami cedera ringan.

Jurucakap Tentera Ke-4, Kol Pramote Prom-in berkata, helikopter Black Hawk mengalami masalah enjin pada kira-kira pukul 8 pagi semasa dalam perjalanan dari kem tentera Senanarong di Hat Yai, Songkhla ke Kem Sirindhorn di daerah Yarang, Pattani, Thailand.

Beliau berkata, juruterbang cuba membuat pendaratan kecemasan tetapi helikopter itu melanggar pokok di sebuah ladang getah.

"Juruterbang dan enam penumpang lain termasuk Kriangkrai mengalami cedera ringan. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Thepa.

"Mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas dipindahkan ke Hospital Songklanagarind di Hat Yai, Thailand,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Bangkok Post melaporkan, Kriangkrai sedang dalam perjalanan rasmi untuk memeriksa wilayah sempadan.

Menurut laporan itu, helikopter berkenaan sudah digunakan sejak 17 tahun lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Thailand, Songkhla, Black Hawk, Terhempas, Tentera