KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka di tempat awam tidak lagi diwajibkan, namun digalakkan bagi mereka yang memiliki gelaja serta golongan berisiko tinggi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut berkata, pemakaian pelitup muka dalam premis pula atas pilihan individu, namun pemilik premis boleh mewajibkan pemakaian kepada pengunjung.
Sementara itu, jelas beliau, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi kes positif Covid-19, dalam pengangkutan awam dan di fasiliti kesihatan.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Khairy selepas perasmian Persidangan Persatuan Ubat Generik dan Biosimilar Antarabangsa (IGBA) - Organisasi bagi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) 2022 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
"Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi mereka yang bergejala, pengguna perkhidmatan awam, semasa berada di fasiliti kesihatan dan sertara dengannya.
"Selain daripada situasi ini, masyarakat boleh memilih sama ada ingin memakai pelitup muka atau tidak. Bagaimanapun, KKM mengalakkan masyarakat memakai pelitup muka di kawasan-kawasan sesak seperti rumah ibadat, pusat membeli-belah, pasar malam dan stadium.
"Ibu mengandung, warga emas dan mereka yang memiliki penyakit kronik juga digalakkan memakai pelitup muka. Mereka yang ingin menjalankan akativiti bersama-sama dengan individu yang saya sebut tadi juga digalakkan untuk memakai pelitup muka.
"Protokol ini berkuat kuasa serta-merta. Kelonggaran ini bukan bermaksud orang ramai boleh mengambil mudah kerana sekiranya kes kembali meningkat, KKM akan pertimbangkan semula protokol ini," katanya.
Dalam pada itu, KKM turut akan meneliti keadaan mutasi baharu Covid-19 sebelum membuat pertimbangan untuk negara beralih ke fasa endemik sepenuhnya.
Menurut Khairy, banyak perkara perlu dinilai sebelum kerajaan mengambil keputusan penting itu terutamanya melibatkan keselamatan rakyat.
“Kita tidak ada kuasa untuk menentukan bagaimana virus ini bermutasi. Kalau lihat kepada sejarah virus (Covid-19) ia telah menyebabkan pandemik kepada manusia. Jadi, sekarang ini kita perlu lihat bagaimana virus bergerak.
“Jadi, persoalan bila hendak beralih sepenuhnya ke fasa endemik ini banyak bergantung kepada mutasi sebab itu kita berasakan kajian perlu diteruskan berkenan dengan varian yang ada serta kesannya.
“KKM berpendapat kita masih perlu berhati-hati sebab tidak tahu apakah virus mutasi ini,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram