Polis tidak jumpa sebarang petunjuk di rumah Zalina Azman


  • 112
  • Selasa, 06 Sep 2022

Hasil pemeriksaan di rumah mangsa tidak menemukan sebarang petunjuk bagi perkembangan siasatan kes itu. — Sinar Harian

PASUKAN forensik dari Bukit Aman, Kuala Lumpur memeriksa rumah bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau dikenali sebagai Zalina Azman bagi meneruskan siasatan kes kehilangan wanita itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Polis, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, bagaimanapun hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang petunjuk bagi perkembangan siasatan kes itu.

"Pemeriksaan pada pukul 10 pagi tadi (Selasa) dilakukan bagi mencari jika terdapat bukti-bukti baharu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Polis menerima laporan mengenai kehilangan Zalina, 58, daripada anak lelakinya Mikhael Norman, 33, pada 29 November 2021 yang cuba menghubunginya sejak 24 November bagi memaklumkan datuk pengadu dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

Polis percaya Zalina masih berada di dalam negara susulan tiada pergerakan keluar membabitkannya yang dikesan pihak berkuasa setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram