Rosmah Mansor bersalah 3 tuduhan rasuah projek solar


Rosmah diperintah membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau. — Sinar Harian

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis mendapati Datin Seri Rosmah Mansor bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap Rosmah.

Rosmah, 70, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion itu.

Pada 18 Februari 2021, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu diperintah membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Selepas memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, pihak pembelaan menutup kes pada 23 Februari 2022. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram