Dewan Ulama PAS pilih bersama Umno dan Bersatu, tolak PH


  • Politik
  • Jumaat, 02 Sep 2022

Antara perwakilan yang hadir pada Muktamar DUPP sempena Muktamar Tahunan PAS ke-68 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, pada Jumaat. — Bernama

DEWAN Ulama PAS Pusat pada Jumaat meluluskan usul berkaitan agenda penyatuan ummah melalui kerjasama dengan Umno serta Bersatu, dan menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Usul itu diluluskan dalam Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat ke-61 dengan disokong majoriti daripada lebih 150 perwakilan yang hadir, sekali gus ia akan dibahas pada Muktamar Tahunan PAS ke-68 yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar, mulai Sabtu hingga Ahad ini.

Ketika membentangkan usul itu, perwakilan dari Dewan Ulama PAS Pusat Negeri Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata ini kerana PAS memainkan peranan secara proaktif untuk menyatukan parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan daripada Melayu atau Islam.

"Ini supaya kekuatan politik Melayu Islam dapat disatukan melalui agenda penyatuan ummah. Strategi satu lawan satu hendaklah dilaksanakan bagi mengelak pertembungan sama sendiri antara parti-parti teras Melayu di kawasan pengundi Melayu atau Islam, supaya tidak berlaku perpecahan undi yang hanya akan menguntungkan PH.

"Seterusnya, mengukuhkan jumlah majoriti kerusi dalam kalangan Muslim yang menjadi gambaran kepada majoriti rakyat Malaysia yang diwakili oleh kaum Melayu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selising, Kelantan itu.

Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram