JKM cari waris bayi kena tinggal di kedai makan di Hulu Selangor


  • 112
  • Selasa, 30 Ogos 2022

Alisya yang ditemui orang awam di sofa hadapan sebuah kedai makan di Hulu Selangor. — Ihsan JKM

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) mencari waris kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di atas sofa di hadapan sebuah kedai makan di Hulu Selangor, Selangor bagi proses dokumentasi.

Melalui satu kenyataan, JKM berkata, pengadu membuat laporan polis sebelum bayi dipanggil Alisya itu dihantar ke Hospital Slim River, Perak untuk rawatan lanjut pada 20 Ogos lalu.

Menurut kenyataan itu, bayi berkenaan kini ditempatkan di bawah jagaan orang layak dan sesuai di bawah Seksyen 25(2)(b) melalui perintah mahkamah bagi kanak-kanak Hulu Selangor.

"Sekiranya waris tidak dapat dikesan selepas siaran akhbar dibuat, pihak JKM akan menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada ibu bapa pelihara yang berdaftar dengan JKM," katanya.

Tambah kenyataan itu, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai bayi berkenaan boleh menghubungi Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Selangor, Syamsul Ahmad Samsu di talian 0360641430 untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram