BEBERAPA laluan utama menuju ke Padang Kota Lama, Pulau Pinang akan ditutup secara berperingkat bermula dari 29 hingga 31 Ogos bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri.
Ketua Polis Daerah George Town, Asisten Komisioner (ACP) Soffian Santong berkata, latihan kemerdekaan akan dilangsungkan pada hari Isnin 29 Ogos sebelum sambutan rasminya pada hari Rabu 31 Ogos.
Beliau berkata, beberapa jalan utama akan ditutup secara berperingkat bermula dari tengah malam hingga 2.00 petang.
“Laluan yang terkesan termasuklah Jalan Tun Syed Sheh Barakbah yang akan ditutup sepenuhnya dari persimpangan masuk hadapan Dewan Sri Pinang bermula dari pukul 12.01 pagi hingga pukul 2.00 petang.
“Laluan di Lebuh Light pula akan ditutup secara berperingkat sehingga pukul 2.00 petang dan bermula dari tengah malam sehingga 9.00 pagi, laluan sekitar Dewan Seri Pinang juga akan ditutup dan kenderaan diarahkan untuk ikut laluan ke kanan melalui Jalan Masjid Kapitan keling.
“Dari pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang, laluan di Lebuh Farquhar berhadapan Hotel Bayview pula akan ditutup dan kenderaan awam akan dilencongkan ke laluan alternatif melalui Lebuh Leith.
“Simpang keluar dari Lebuh King ke Lebuh Light dan simpang masuk dari Lebuh Light ke Lebuh Pulau Pinang juga akan ditutup sehingga 2.00 petang bagi semua jenis kenderaan,” katanya pada sidang media.
ACP Soffian menambah, Jalan Pengkalan Weld akan ditutup sepenuhnya bermula dari persimpangan Gat Lebuh Chulia dari tengah malam hingga 2.00 petang.
“Kenderaan yang datang dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pula akan dilencongkan ke kiri melalui Gat Lebuh Chulia.
“Semua jenis kenderaan tidak dibenarkan untuk melalui Simpang keluar dari Gat Lebuh China dan Gat Lebuh Gereja ke Weld Quay manakala laluan Lebuh Pantai di hadapan Bank HSBC pula akan ditutup sepenuhnya sehingga jam 2.00 petang.
“Semua kenderaan akan dilencongkan ke kiri melalui Lebuh Union,” katanya sambil menambah jalan yang ditutup akan kembali dibuka pada pukul 2.00 petang atau setelah selesai latihan raptai.
Pada hari Rabu 31 Ogos, penutupan jalan raya hanya akan dilakukan di laluan menuju ke Dewan Bandaraya Pulau Pinang di Esplanade, sama ada melalui Jalan Tun Syed She Barakbah ataupun di Lebuh Light.
Menjelang hari sambutan kemerdekaan pada Rabu 31 Ogos, ACP Soffian berkata Lebuh Farquhar dan Lebuh Light akan ditutup sepenuhnya di laluan Hotel Bayview bermula tengah malam hingga 2.00 petang dan semua jenis pengangkutan awam akan dilencongkan ke laluan kanan melalui Leith Lane.
“Simpang keluar dari Lebuh King ke Lebuh Light dan simpang masuk dari Lebuh Light ke Lebuh Pulau Pinang juga akan ditutup sehingga pukul 2.00 petang untuk semua jenis kenderaan.
“Kenderaan awam yang datang dari arah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pula akan dilencongkan ke kiri melalui Gat Lebuh Chulia," katanya.
Sementara itu, ACP Soffian berkata, perkhidmatan feri di Terminal Pelayaran Swettenham Pier (SPCT) akan kembali beroperasi seperti biasa.
“Mereka yang datang untuk meraikan sambutan kemerdekaan digalakkan menggunakan perkhidmatan feri bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
“Perkhidmatan Bas Rapid dari SPCT ke stesen bas Rapid di Pengkalan Raja Tun Uda (PRTU) tidak akan disediakan pada 29 dan 31 Ogos bagi memberi laluan kepada latihan raptai.
“Pada 31 Ogos, Rapid Penang akan menyediakan perkhidmatan bas percuma dari terminal bas Komtar ke terminal bas PRTU bagi mereka yang menghadiri sambutan itu.
"Tempat letak kenderaan pelawat akan disediakan di Lebuh Union dan di Lebuh Pantai," katanya sambil menambah pintu masuk ke jalan yang ditutup hanya dibenarkan untuk kenderaan yang mempunyai pelekat khas serta mereka yang menerima kebenaran daripada pihak penguatkuasa yang bertugas.
ACP Soffian berkata, lebih 115 anggota unit akan bertugas pada 29 Ogos termasuk 60 anggota polis manakala 276 anggota unit pula akan bertugas pada 31 Ogos yang terdiri daripada 170 anggota polis.
“Saya menyeru orang ramai untuk membuat perancangan yang bijak bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
"Kami menjangkakan sekurang-kurangnya 5,000 orang pengunjung akan menghadiri sambutan pada 31 Ogos ini," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram