Orang awam temui mayat pemancing dibaham buaya di Semporna


  • 112
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Mayat mangsa ditemukan berhampiran lokasi dia dibaham buaya itu. — Gambar hiasan

MAYAT Azman Tugau, lelaki yang dilaporkan dibaham buaya ketika memancing di Sungai Pegagau dekat Semporna, Sabah pada Ahad lepas, ditemukan orang awam kira-kira pukul 5 petang Selasa.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, mayat mangsa ditemukan berhampiran lokasi dia dibaham reptilia itu.

"Pada pukul 5.30 petang tadi (Selasa) Balai Bomba dan Penyelamat Atas Air Semporna menerima makluman daripada Ibu Pejabat Polis Semporna bahawa mayat mangsa ditemukan oleh orang awam. Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan," katanya.

Ahad lepas, Azman, 35, bersama sepupunya dilaporkan sedang memancing di pinggir sungai berkenaan sebelum dia dibaham buaya pada kira-kira pukul 3 petang.

Sepupu mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut berjaya melarikan diri dan melaporkan perkara itu kepada polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram