Pegawai Imigresen herdik pelanggan ditukar ke bahagian lain


  • Primer
  • Ahad, 21 Ogos 2022

Tangkap layar pertengkaran antara seorang lelaki dan Pegawai Imigresen yang tular baru-baru ini.

TINDAKAN seorang pegawai yang membuat herdikan adalah bertentangan dengan nilai Jabatan Imigiresen, walaupun diprovokasi, kata Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen itu berkata, insiden tular yang berlaku di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall, dekat Shah Alam, Selangor baru-baru ini dipandang serius.

Beliau menambah bahawa, tindakan pegawai itu juga bertentangan dengan slogan jabatan tersebut, iaitu 'Integriti, Professional, Mesra'.

"Selain itu, adalah diakui bahawa menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang Pegawai Imigresen yang juga penjawat awam.

"Pegawai Imigresen seharusnya bijak mengawal diri dan mengambil sikap professional apabila berdepan dengan provokasi lisan oleh orang awam, kerana mereka diberi latihan dan tunjuk ajar yang mencukupi.

"Dalam perkara ini, jabatan telah memindahkan pegawai itu ke bahagian lain serta-merta," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kertas siasatan oleh bahagian integriti jabatan akan dibuka.

Pada masa sama, Khairul Dzaimee turut mengecam provokasi yang dilakukan oleh pihak lain.

Tambahnya, banyak sumber untuk memperbaharui pasport telah disediakan, termasuk melanjutkan waktu urusan itu pada hujung minggu.

"Kami menasihatkan semua pihak untuk merujuk halaman media sosial kami bagi mendapatkan maklumat terkini.

"Kami juga ingin menegaskan bahawa tidak akan ada kompromi terhadap mana-mana pegawai yang didapati bertindak secara tidak profesional.

"Tindakan juga akan diambil terhadap pihak yang mencemarkan imej dan nama baik Jabatan Imigresen," katanya.

Dalam rakaman video berdurasi 26 saat yang tular di media sosial, kelihatan berlaku pertengkaran antara seorang lelaki dengan pegawai Imigresen di sebuah kaunter.

“Kau kurang ajar dengan aku, kau play game dengan aku, no problem. Aku dah record everything,” kata lelaki itu.

“Hoi, siapa salah? Tak ada adab. Berambus. Berambuslah setan. Eh, recordlah bodoh!,” demikian herdikan pegawai berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram