Najib 'tutup mata' RM42 juta dalam akuan bank


Najib tidak boleh menidakkan fakta bahawa dana berkenaan, berada di akaun banknya kemudian meletakkan kesalahan kepada Jho Low. — Bernama

PASUKAN responden di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat menyatakan bahawa, Datuk Seri Najib Razak mengetahui beliau memiliki RM49 juta yang kononnya hasil derma daripada Arab Saudi, antara Jun 2014 dan Februari 2015.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kanan, Datuk V Sithambaram ketika berhujuh bagaimanapun memaklumkan, wang itu sudah habis digunakan, kecuali kira-kira RM6 juta yang terdiri daripada deposit tunai sebanyak RM5 juta (bukan derma Arab) sebelum kemasukan RM42 juta.

Menurutnya, ia menjadikan wang yang dimasukkan ke akaun Najib selaku perayu, meningkat 100 peratus.

"Perayu menutup mata dan menyatakan bahawa dia tidak tahu mengenai kewujudan RM42 juta ini.

"Sedangkan, perayu mengeluarkan cek atau memindahkan dana keluar, sebelum dana itu masuk semula ke akaunnya, menunjukkan dia sedar mengenai perkara tersebut,” katanya ketika berhujah di hadapan lima panel diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Sithambaram berkata, berdasarkan logik, tiada sesiapa yang akan berbelanja melebihi wang yang dimiliki.

Menurutnya, pemimpin UMNO itu tidak boleh menidakkan fakta bahawa dana berkenaan, berada di akaun banknya kemudian meletakkan kesalahan kepada Low Taek Jho atau Jho Low dengan mendakwa ahli perniagaan kontroversi tersebut, sebagai individu yang melakukan transaksi.

“Perayu cuba meyakinkan mahkamah dengan menyatakan, beliau tidak tahu kemasukan dana ke akaun banknya.

“Ini adalah sia-sia kerana RM42 juta bukan jumlah wang yang kecil,” katanya.

Atas faktor itu, beliau berkata, jejak aliran wang daripada SRC ke akaun bank perayu menunjukkan kesalahan bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan terhadap perayu telah berlaku.

Katanya, hakikat bahawa perayu telah menyebabkan kerugian kepada SRC atau keuntungan kepada dirinya sendiri telah memenuhi unsur ketidakjujuran dalam jenayah pecah amanah.

Prosiding bersambung semula selepas ditangguhkan sebentar tadi. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Najib Tun Razak, pendakwaan, kes SRC