UTM nafi, tiada kaitan pensyarah disyaki beri soalan kaji selidik lucah


  • Primer
  • Khamis, 18 Ogos 2022

UTM tidak ada kaitan dengan kes seorang pensyarah yang dikaitkan dengan soalan kaji selidik berunsur lucah kepada pelajar perempuan. — Facebook

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) mengesahkan seorang pensyarah yang dikaitkan dengan soalan kaji selidik berunsur lucah kepada pelajar perempuan, bukan pensyarah di universiti terbabit.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, UTM tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes tersebut dan pelajar terbabit juga adalah dari sebuah universiti awam berlainan.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan bahawa kes terbabit masih dalam siasatan oleh universiti berkenaan.

"Kita sudah merujuk kepada penasihat undang-undang UTM, pelajar itu bukan dari UTM dan kursus (yang tertera di soal selidik) itu tidak ada di UTM.

"UTM tidak ada kaitan, pensyarah itu tidak pernah berkhidmat dengan UTM dan tidak dikenali, kami sudah periksa...kami juga tidak tahu tujuan (mengapa soal selidik itu menggunakan logo UTM),” katanya selepas ditemui pemberita di Majlis Konvensyen Pentadbir Universiti Awam Malaysia, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kes tersebut yang tular di Twitter baru-baru ini selepas seorang wanita dipercayai pelajar tersebut membuat ciapan mengenai soal selidik berunsur lucah yang mempunyai logo UTM itu diberikan oleh pensyarahnya.

Ahmad Fauzi berkata, UTM menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut memandangkan universiti itu tidak terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat menerusi kenyataan berkata, pihaknya mengesan satu laporan polis bertarikh 2 Jun tahun lepas, yang tular di Twitter membabitkan kejadian itu.

Beliau berkata, kertas siasatan berhubung kes itu sudah dibuka dan semua pihak terlibat telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kertas siasatan juga telah dilengkapkan serta dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Perundangan Bukit Aman untuk arahan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Majoriti terdahulu melaporkan, seorang pensyarah yang mengajar di sebuah kampus universiti awam terkemuka di Johor Bahru didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelajarnya.

Terdahulu, menerusi ciapan Twitter, wanita tersebut dipercayai pelajar berkenaan mendakwa kejadian membabitkan pensyarahnya itu telah berlaku sejak tahun lepas.

Pelajar itu turut berkongsi laporan polis yang dibuatnya dan tangkap layar perbualan dengan pensyarahnya menerusi aplikasi WhatsApp yang memintanya untuk menjadi responden kajian selidik bertajuk ‘Soal Selidik Kesedaran Seks Di Kalangan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi’. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram