SELAIN sikap tolong-menolong, hidup berjiran juga perlu disematkan dengan adab dan nilai murni lain, seperti tolak-ansur serta menjaga perasaan antara satu sama lain.
Perkara ini penting bagi meneruskan kelangsungan hidup bermasyarakat secara harmoni.
Namun, lain situasinya bagi seorang wanita apabila terpaksa memendam perasaan sakit hati berhubung sikap pentingkan diri jirannya.
Menerusi laman TikTok, @M4M4_Q4si3H berkongsi video mengenai sikap jiran di hadapan rumahnya, yang gemar membuang air basuhan baju dari atas sebuah rumah teres dua tingkat.
Ketika melakukan pembuangan itu, air cucian terkena lantai sekali gus terpercik ke rumah wanita terbabit.
@M4M4_Q4si3H mendakwa, perkara yang sering kali berlaku itu menyebabkan pintu rumahnya reput dan terpaksa kerap menukarnya.
Perkongsian wanita itu mendapat respons netizen yang rata-rata mengesyorkan penyelesaian terbaik bagi menangani perkara tersebut.
Ceo of Tumpang Sekaki memberi idea supaya wanita tersebut memberi teguran secara baik kepada jirannya.
"Minta dia (jiran) beli paip PVC. Buat sambungan paip sampai bawah alirkan air tu ke arah lain," sarannya.
Khairi menulis: "Pasang paip PVC dekat sambungan keluar air ke longkang atau beli paip PVC paling besar letak kat kawasan air turun, sekurang-kurangnya air tak memercik kat tempat lain."
Selain itu, Panglima Elektrik menyarankan wanita tersebut supaya meletakkan pasu di tempat tersebut supaya air akan mengalir masuk ke dalam pasu berkenaan.
Bintanghati menulis, dia juga pernah mengalami masalah sama dengan wanita tersebut dan menasihati jirannya secara baik, namun sia-sia kerana nasihatnya tidak didengari.
"Naik slow talk cakap elok-elok buat lagi. Kena maki dengan suami dengan kata-kata kesat.
"Hari tu juga settle (selesai) masalah. Memang minta kena maki dulu," katanya.
Cikbunga_Aida memberi idea supaya wanita tersebut membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), yang mana mereka akan berjumpa dengan pemilik rumah tersebut.
"Jangan risau, segala identiti sis mereka akan rahsiakan tanpa pengetahuan jiran," tambahnya.
Sehingga kini, lokasi kejadian masih belum diketahui manakala Majoriti masih cuba menghubungi wanita tersebut bagi mendapatkan maklumat lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram