KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) akan menubuhkan Jawatankuasa Program Memperkasakan Pendidikan Pengundi Pelajar (Undi18).
Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, fungsi utama jawatankuasa itu adalah sebagai platform bagi KPT, universiti awam (UA) serta Akademi Pilihan Raya (APR) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membincangkan pelaksanaan program pendidikan pengundi membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
"Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab melihat keberkesanan pelaksanaan program yang dirancang dan seterusnya mencadangkan mekanisme yang sesuai bagi menambah baik pelaksanaan program tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan nota kerjasama antara UA, politeknik, kolej komuniti dan SPR bagi program Undi18 pada Selasa.
Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh wakil Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) 20 UA, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, APR dan SPR manakala Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pengajian Tinggi selaku urus setia.
Noraini berkata, pemeteraian MoU dan nota kerjasama itu merupakan manifestasi sokongan KPT terhadap pelaksanaan Undi18 yang diterjemah melalui kerjasama antara UA, politeknik, kolej komuniti dan SPR dalam melaksanakan program pendidikan pengundi kepada pelajar.
Pada Julai 2019, Parlimen meluluskan cadangan pindaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkaitan penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. Pindaan itu turut membabitkan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik oleh kerajaan.
Noraini berkata, susulan pindaan itu, majoriti pelajar IPT layak mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, pemansuhan Seksyen 15(2)(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 dan Seksyen 10(2)(c) Akta Institusi-Institusi Pelajaran pada 2019 turut membenarkan pelajar IPTA melibatkan diri dalam politik di dalam dan luar kampus termasuk bertanding sebagai calon pilihan raya.
"Hakikatnya, kedua-dua perubahan tersebut menghadirkan peranan yang lebih besar kepada pelajar IPT untuk melibatkan diri secara lebih bermakna dalam proses demokrasi negara dan menuntut komitmen kerajaan, khususnya KPT, untuk memberikan pendedahan dan kefahaman kepada para pelajar tentang sistem demokrasi, pilihan raya dan politik negara," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram