Mahkamah mahu salinan percakapan saksi utama kes Syed Saddiq


Syed Saddiq berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram. — Sinar Harian

MAHKHAMAH Tinggi, Kuala Lumpr pada Isnin mengarahkan pasukan pendakwaan menyerahkan salinan percakapan saksi pendakwaan ke-13 yang dirakam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 lalu kepada mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, demikian ketika prosiding mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan, Rafiq Hakim Razali dalam perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram.

Azhar berkata, selepas meneliti dan mendengar hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, mahkamah bersetuju bahawa pihak pembelaan berjaya menunjukkan wujud perbezaan keterangan lisan yang diakui oleh pasukan pendakwaan.

Oleh itu beliau berkata, mahkamah mengarahkan pasukan pendakwaan untuk menyerahkan salinan percakapan Rafiq untuk penelitian sebelum tindakan lanjut ditentukan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bertanya sama ada salinan percakapan itu diserahkan kepada Yang Arif sahaja atau diberi juga kepada pihak lain.

Azhar: Serah kepada mahkamah terlebih dahulu bagi menentu sahkan perbezaan yang ada dalam kedua-dua keterangan lisan dan percakapan saksi itu.

Wan Shaharuddin: Perlukah kami tunjuk kenyataan mana yang ada berbezaan itu?

Azhar: Biar saya baca dahulu, kemudian saya akan tentukan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram