Kerap diugut bapa saudara, budak 10 tahun maut ditikam depan guru, kawan


  • Benua
  • Khamis, 11 Ogos 2022

Mangsa maut akibat tikaman di hadapan murid-murid lain dan guru kelas mereka. — Agensi

NASIB tragis dialami oleh seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang ditikam oleh bapa saudaranya di dalam sebuah kelas di Yayasan Baiti Jannati, Deli Serdang, Indonesia.

Lapor Tribunnews, Ketua Polis Sunggap, Chandra Yudha Pranata berkata, pelaku tiba-tiba masuk ke dalam kelas dan menikam mangsa ketika kejadian.

Katanya, mangsa maut akibat tikaman dan kejadian itu disaksikan rakan serta guru kelasnya.

“Disebabkan kejadian itu, murid-murid lain menjerit ketakutan sebelum suspek melarikan diri.

“Sehingga kini, usaha masih dilakukan untuk menjejaki suspek bagi mengetahui motif sebenar,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Nadya, 25, berkata, tiada hal yang mencurigakan ketika dia menghantar adiknya ke sekolah.

“Setiap hari saya hantar adik ke sekolah dan pada hari kejadian, dia masuk ke sekolah seperti biasa.

“Tak lama selepas itu, saya dihubungi oleh pihak sekolah memaklumkan adik saya meninggal dunia,” katanya.

Nadya berkata, pelaku berkemungkinan melompat masuk ke kawasan sekolah dari arah belakang.

Katanya, sepanjang perjalanan ke sekolah, dia tidak melihat bapa saudara mengekorinya.

“Sebelum ini, memang adik saya kerap mendapat ancaman bunuh daripada bapa saudaranya.

“Saya tidak menghiraukan ancaman itu kerana dia adalah saudara kami.

“Namun, saya tak sangka dia benar-benar membuktikan ancamannya. Saya berharap sangat dia dapat ditangkap segera,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram