POLIS menahan tiga lelaki disyaki terbabit dalam empat kes pecah masuk kedai di sekitar Lembah Klang dan Melaka menerusi dua serbuan di Shah Alam, Selangor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tiga individu berusia lingkungan 30-an ditahan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pecah masuk sebuah pusat servis kereta di Jalan AWF Waterfront, Ampang, Selangor pada 5 Ogos lepas membabitkan kerugian RM30,000.
Beliau berkata, susulan penahanan tiga individu, polis menyelesaikan empat kes pecah kedai di daerah Ampang Jaya, Subang, Sungai Buloh, Kuala Lumpur dan Alor Gajah, Melaka.
"Polis turut merampas beberapa barangan yang dilaporkan hilang dan semua individu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohamad Farouk berkata, semakan mendapati dua daripada individu ditahan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah atau premis dengan melakukan pencerobohan dalam bangunan bagi tujuan melakukan curi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram