POLIS mengeluarkan saman terhadap warga emas yang dikesan memandu kereta secara melawan arus di Kilometer 211, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara di Lumut, Perak pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, tindakan diambil terhadap lelaki berusia 83 tahun itu mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung berjaya mengesan pemilik kereta jenis Mercedes Benz itu selepas video cara pemanduannya itu tular di laman sosial pada Selasa.
"Polis menahan warga emas terbabit dan tindakan saman telah diambil atas kesalahan memandu melawan arus (abaikan isyarat lalu lintas)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai penyakit Alzheimer dan simptom nyanyuk. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram