SEORANG pemandu trak pikap diserang selepas dia bertindak merempuh sebuah rumah dalam kejadian di Taman Makmur, Kulai, Johor pada awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 2.11 pagi.
Beliau berkata, pihaknya menahan seorang suspek berusia 30 tahun yang mengalami kecederaan di muka dipercayai akibat dipukul orang ramai di lokasi kejadian.
Beng Yeow berkata, siasatan awal mendapati suspek merempuh pintu pagar hadapan rumah milik seorang lelaki berusia 60 tahun.
Rempuhan itu turut mengakibatkan sebuah kereta yang diletakkan di parkir hadapan rumah terbabit, mengalami kerosakan.
Menurutnya, tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu dan suspek dibawa ke ibu pejabat polis daerah. Suspek bagaimanapun didapati tidak memandu di bawah pengaruh alkohol.
Tambahnya lagi, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau.
"Suspek kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru kerana mengalami kecederaan dalam kejadian itu," katanya.
Beliau berkata, polis masih mengenal pasti individu yang didakwa membelasah suspek dan menggesa saksi membuat laporan di balai polis berhampiran.
Katanya, polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram