Ibu bapa tolak perkhidmatan bas sekolah, lebih berbaloi hantar anak sendiri


  • Massa
  • Ahad, 07 Ogos 2022

Bas sekolah mengambil pelajar di Sepang. — The Star

IBU kepada empat anak Salina Osman, 38, selama ini hanya bergantung pada perkhidmatan bas untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah.

Namun situasi berkenaan berubah pada tahun lepas apabila syarikatnya memperkenalkan peraturan bekerja dari rumah, sekali gus memberikan Salina masa yang lebih fleksibel dalam jadual hariannya.

"Sistem kehadiran fizikal secara bergilir ke sekolah menyukarkan saya untuk menguruskan jadual bas anak-anak saya.

"Jadi saya memutuskan untuk menghentikan perkhidmatan itu. Ianya secara tidak langsung membolehkan saya mengurangkan perbelanjaan kerana tidak lagi perlu membayar yuran bulanan pengangkutan bas sekolah," katanya.

Kebanyakan ibu bapa ditemui berkata mereka tidak lagi berminat untuk menggunakan bas sekolah.

Ibu kepada dua orang anak, V. Nair, 43, lebih suka menghantar anaknya yang berusia sembilan tahun ke sekolah di Nilai, Negeri Sembilan, kerana anaknya mempunyai lebih masa untuk bersiap ke sekolah.

“Jika dia menaiki bas, dia perlu bangun lebih awal untuk bersiap.

"Kini, dia boleh keluar dari rumah selepas jam 7 pagi dan tiba di sekolah tepat pada masanya."

Dia berkata, anaknya kerap menunggu di luar sekolah untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum.

"Bas sekolah tidak akan menunggunya, jadi saya masih perlu menjemputnya dari sekolah.

"Oleh itu, ianya merupakan satu pembaziran wang untuk menggunakan perkhidmatan bas sekolah," tambahnya.

Gracie Wong, 46, dari Kajang, Selangor, menanggung beban bayaran tinggi yang dikenakan oleh pengendali bas sekolah tempatan.

"Yuran dikenakan bagi seorang adalah RM120, bermakna saya terpaksa mengeluarkan RM240 sebulan untuk dua anak lelaki saya.

"Walaupun anak-anak saya seronok menaiki bas kerana mereka boleh beramah mesra dengan rakan-rakan, saya tidak mampu untuk membayar yuran tersebut.

"Kini, anak-anak saya terpaksa menumpang ibu bapa rakan yang sudi menumpangkan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya Mohamad Haron Mohamad Sidek berkata, banyak pengusaha telah menghentikan operasi mereka.

"Mereka mengalami kerugian kewangan yang besar kerana pelbagai sekatan pergerakan dijalankan pada tahun lepas.

"Akibatnya, mereka tidak mampu untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans yang mencecah ribuan ringgit," katanya.

Haron mengakui terdapat penurunan permintaan terhadap bas sekolah dalam kalangan ibu bapa pada masa kini.

"Mereka mahu mengurangkan kos dalam ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

"Sebagai tindak balas, ramai pengendali telah beralih kepada pekerjaan lain," tambahnya.

Pengusaha bas sekolah Hamziezar Hamzah, 51, bagaimanapun menzahirkan keyakinan bahawa permintaan akan pulih selepas keadaan ekonomi semakin baik.

"Apabila syarikat memerlukan pekerja untuk hadir ke pejabat seperti biasa, bas sekolah akan menjadi pilihan pengangkutan semula," katanya.

Hamziezar mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM110 untuk setiap pelajar bagi tempoh sebulan, bergantung kepada jarak.

Beliau menggesa ibu bapa untuk mendaftar dengan pengendali berdaftar yang mematuhi peraturan yang sepatutnya.

"Ini termasuk semakan berkala kondisi kenderaan setiap enam bulan yang dijalankan oleh pihak berkuasa," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram