SEORANG kanak-kanak lelaki hilang selepas perahu yang dinaiki bersama ibu bapa dan adik perempuannya karam pada Jumaat akibat berlanggar dengan sebuah tongkang di Sungai Batang Rajang berdekatan Kapit, kira-kira 167 kilometer dari Sibu, Sarawak.
Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Supritendan Freddy Bian berkata, kehilangan Jenggut Antas, 10, dilaporkan oleh bapanya, Antas Agang, 38, yang terselamat bersama isteri dan anak perempuannya dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Beliau berkata, berdasarkan laporan dibuat oleh Antas, semasa menghampiri sebuah dermaga batu di seberang bandar Kapit enjin perahu yang dinaiki keluarga itu tiba-tiba mati dan gagal dihidupkan semula.
"Perahu itu kemudian dihanyutkan air deras dan berlanggar dengan tongkang yang berlabuh di dermaga batu lalu terbalik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada pukul 11.30 pagi melibatkan tiga anggota polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kapit, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak yang masing-masing menghantar empat anggota. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram