Pemandu tak sempat brek, treler rempuh 11 kenderaan di Shah Alam


  • 112
  • Jumaat, 05 Ogos 2022

Kejadian nahas di mana 11 kenderaan yang sedang berhenti di sebuah lampu isyarat dirempuh sebuah treler. — Sinar Harian

SEBANYAK 11 buah kenderaan yang berhenti di sebuah lampu isyarat mengalami pelbagai kerosakan akibat dirempuh sebuah treler yang gagal berhenti di Persiaran Tengku Ampuan menghala Puchong, berhampiran sebuah restoran makanan segera di Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kesemua mangsa terlibat dalam kemalangan sekitar pukul 12.09 tengah hari itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesemuanya telah hadir membuat laporan.

"Hasil siasatan, mendapati treler tersebut tidak sempat membrek apabila kenderaan di hadapannya berhenti mengejut lalu melanggar bahagian belakang kereta tersebut.

Rakaman kemalangan beberapa buah kenderaan yang menyebabkan trafik sesak di Persiaran Tengku Ampuan.

"Kemalangan juga dipercayai melibatkan sebanyak 11 buah kenderaan yang sedang menunggu lampu isyarat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Iqbal berkata, ujian air kencing terhadap pemandu treler itu didapati negatif dadah dan dia juga tiada sebarang rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

"Saksi kejadian diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram