SEORANG pengusaha taska menangis ketika merayu agar dikenakan hukuman ringan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu kerana menampar seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, sehingga menyebabkan kecederaan, dua bulan lalu.
Azlinawaty Julaihi, 41, didenda RM7,000 selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamed Khalid.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan, jika gagal membayar denda tersebut.
Semasa prosiding, Emelia Kaswati berkata, mahkamah perlu menjatuhi hukuman berbentuk pengajaran dan menjadi teladan kepada pengasuh lain, agar tidak melakukan kesalahan sama.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai pengasuh telah menganiaya sehingga mengakibatkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan bengkak di mata dan lebam di tulang pipi, pada pukul 12.30 tengah hari, 15 Jun lalu, di sebuah taska di Sentul, Kuala Lumpur.
Atas kesalahan itu, dia boleh dihukum bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan ibu mangsa mendapati mata, tulang pipi dan atas bibir anaknya mengalami kecederaan.
Pengadu bertanya kepada Azlinawaty dan dia memaklumkan mangsa terhantuk dengan anak asuhan lain ketika bermain tetapi akhirnya dia mengaku menampar kanak-kanak tersebut. — Sinar Harian