Lelaki campak 3 anak di jejambat MRR2 alami masalah mental


  • 112
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Lelaki warga Myanmar dan dua kanak-kanak maut selepas jatuh dari jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur pada Selasa.

MASALAH mental dipercayai punca seorang lelaki Myanmar tergamak mencampak tiga anaknya dari jejambat setinggi 20 meter di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebelum terjun di tempat sama, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dua anaknya yang berusia enam dan tujuh tahun maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang dianggarkan berusia lima tahun kritikal.

"Ibu kanak-kanak berkenaan, warga Myanmar juga pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah dirakam keterangan pada Selasa.

"Hasil siasatan awal kita percaya suspek mengalami masalah mental menyebabkan dia melakukan perkara itu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Eng Lai berkata, mangsa yang terselamat berada dalam keadaan kritikal dan diberikan ubat pelali oleh pasukan perubatan di Hospital Selayang, Selangor.

Pada Selasa, dua kanak-kanak warga Myanmar maut akibat dicampak bapa mereka dari jejambat di MRR2, Kuala Lumpur.

Berdasarkan kenyataan saksi, lelaki berusia 38 tahun itu dilihat berjalan sambil menggendong seorang kanak-kanak manakala dua lagi kanak-kanak dipegang di tangan kanan dan kirinya.

Polis dalam kenyataan berkata, kesemua kanak-kanak dan suspek terbabit ditemui berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya, Kuala Lumpur. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram