Mungkin ada bahan radioaktif, polis nasihat penduduk jauhi kawasan serpihan roket terbenam


  • 112
  • Isnin, 01 Ogos 2022

Kewujudan objek berwarna hitam yang tidak dikenal pasti ditemukan penduduk di Lot 65, Pekan Sepupok Lama, Niah pada Ahad. — Facebook

POLIS mengesahkan terdapat serpihan logam, dipercayai bahagian roket Long March 5B milik China, terbenam berdekatan sebuah rumah di Sepupok, Batu Niah, kira-kira 81 kilometer ke selatan dari Miri, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan objek itu pada Ahad dan menerusi tinjauan yang dilakukan, serpihan logam itu didapati terbenam kurang satu meter di dalam tanah.

Bagaimanapun, pihaknya tidak dapat mengesahkan asal usul logam tersebut dan meminta bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menganalisis tempat tersebut.

"Kita nasihati orang ramai agar tidak berada di kawasan berhampiran tempat kejadian kerana dibimbangi logam tersebut mengandungi bahan radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kawasan itu dipantau rapi untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita palsu kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat dan disarankan menghubungi balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat atau mendapatkan kepastian mengenai kejadian itu.

Pada Ahad, media melaporkan terdapat serpihan roket Long March 5B milik China dikesan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.

Sementara itu, MOSTI menggerakkan satu pasukan penyiasat pada Isnin terdiri daripada Bahagian Penguasa Angkasa, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA).

Pasukan MOSTI akan bekerjasama dengan IPD Miri dan pihak berkuasa yang lain dalam menjalankan siasatan dan laporan berhubung hasil siasatan akan dibuat dalam jangka masa terdekat.

Pemantauan secara berterusan MOSTI menerusi MYSA serta kenyataan oleh Agensi Angkasa China mendapati kemasukan semula serpihan roket berkenaan ke ruang udara Bumi dikesan pada pukul 12.55 tengah malam Sabtu waktu Malaysia.

Menurut MOSTI sisa serpihan itu direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram