'Tidak layak dikebumi bersama Muslim lain," mufti cadang pinda Perlembagaan kes hina agama Islam


  • Mukmin
  • Isnin, 25 Jul 2022

Mohd Nor'muzil (tengah) didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang kerana menghina Islam di aplikasi YouTube.  — Sinar Harian

JIKA hukum hudud wujud di Malaysia, golongan menghina agama Islam boleh dikenakan hukuman bunuh, demikian penjelasan dari Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman berkenaan isu penghinaan terhadap agama Islam yang kian menjadi-jadi.

Abd Rahman menegaskan individu yang menghina agama Islam juga diisytiharkan murtad dan antara perkara lain yang perlu diketahui ialah golongan itu sememangnya tidak boleh dikubur dalam perkuburan Islam serta tidak mendapat harta pusaka.

Malah, jika individu yang menghina Islam itu sudah berkahwin, status suami isteri akan terbatal secara serta-merta.

Bagaimanapun, menurut Mufti Pahang itu, sebelum menghukum individu itu adalah murtad, pihak berkuasa perlu menyiasat sama ada dia menghina Islam dalam keadaan sedar ataupun tidak.

"Hukuman orang yang murtad ini adalah hukuman yang boleh sampai kepada bunuh. Tapi sebelum itu ia ada prosedurnya. Diberi nasihat beberapa hari tapi jika dia berkeras juga dia memang mencabar agamalah. Kita tidak nak mereka ini merosakkan orang lain.

"Jika ada hudud ataupun peraturan sebegitu, hukumannya memang boleh sampai kepada bunuhlah tetapi jika dalam Malaysia ni belum adalah. Kita hanya menggunakan peruntukan yang ada," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, mengulas isu masyarakat lain tidak berpuas hati dengan mengenai hukuman yang diterima oleh individu menghina Islam, Abd Rahman mencadangkan untuk meminda Perlembagaan yang sedia ada.

"Ramai orang tak puas dengan hukuman mereka ini, sebab itu perlu pinda Perlembagaan.

"Bagi saya betul perlu gunakan peruntukan yang ada, tapi masalah sekarang ni penguatkuasa pun tidak menguatkuasakannya. Kadang ada penguatkuasa yang tidak mengambil tindakan akan perkara itu dan tidak dibawa ke mahkamah. Ramai yang tidak mengambil serius perkara ini," jelasnya.

amyy

Siti Nuramira Abdullah (kanan) ataupun dikenali sebagai Amy didakwa mengaku seorang Muslim, menghafal 15 juzuk al-Quran, bertindak membuka tudung dan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Sementara itu, pendakwah selebriti, Imam Muda Ashraf menjelaskan bahawa situasi seperti mental, peribadi dan tragedi pengalaman hidup merupakan faktor bagaimana seseorang itu tergamak untuk menghina Islam.

Namun begitu, Ashraf berkata, pengalaman hidup yang sebegitu tidak boleh menjadi alasan buat mereka menghina Islam.

"Ada orang hina sebab tak tahu fakta, sebab dia jahil. Ada sebab pengalaman hidup. namun sekali pun pengalaman dengan orang tertentu, dia tidak boleh bertindak untuk menghina Islam.

"Mungkin dia ada pengalaman seperti berurusan dengan harta faraid, mungkin pengalaman berhadapan dengan seorang suami beragama Islam yang pendera atau sistem kewangan yang dirasa tidak menyebelahinya. Kadang-kadang pengalaman hidup itu menjadi faktor," katanya.

Baru-baru ini, tular kes penghinaan terhadap agama Islam oleh beberapa individu yang telah menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat dan turut mendapat perhatian dari pelbagai pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram