Budak 9 tahun hilang sejak Jumaat ditemui lemas di Sungai Plentong


  • 112
  • Ahad, 31 Jul 2022

Balai Polis Plentong menerima makluman awam bahawa terdapat satu mayat ditemukan lemas di kawasan Sungai Plentong. — Facebook

KANAK-KANAK lelaki yang dilaporkan hilang sejak Jumaat ditemukan lemas di Sungai Plentong di Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mayat kanak-kanak berusia sembilan tahun itu ditemukan pada pukul 11.30 pagi oleh orang awam.

"Ibu mangsa yang berusia 40 tahun membuat laporan polis pada pukul 6.49 petang Sabtu memaklumkan anaknya tidak pulang ke rumah sejak pukul 3 petang Jumaat.

"Namun pada pukul 11.30 pagi Ahad, Balai Polis Plentong menerima makluman awam bahawa terdapat satu mayat ditemukan lemas di kawasan Sungai Plentong," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut, manakala mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram