SELEPAS insiden sekatan di media sosial oleh admin Twitter Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap Fahmi Reza, baginda tetap menyatakan keinginan untuk bertemu aktivis dan pereka grafik.
"Sorry. Harap kita dapat jumpa. Saya suka jumpa antimonarch (antimonarki) ni semua. Interesting. Tanya @Marina_Ibrahims (Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai)," ciapnya pada Rabu, petang.
Terdahulu, Fahmi Reza mendedahkan menerima jemputan mengadap Tunku Ismail secara peribadi, namun enggan berbuat demikian.
Katanya, dia tidak menerima jemputan untuk berjumpa mana-mana individu politik, ketua kerajaan atau mereka dari kelas pemerintah untuk mengelak dirinya daripada dilihat bias atau rapat dengan mana-mana pihak.
"Saya lebih senang kekal sebagai seorang aktivitis yang indipendent. Harap kamu faham kenapa saya tolak jemputan kamu. Kalau kita berjumpa, macai-macai akan label saya 'barua TMJ' pula nanti," katanya yang hanya mahu bersembang di Twitter.
Menerusi satu lagi ciapan, Tunku Ismail memberi mesej bahawa pertemuan dengannya tidak melalui protokol yang terlalu ketat.
Kata TMJ, pertemuannya dengan Marina sebelum ini di sebuah kafe di Jalan Dhoby, Johor Bahru, Johor diadakan secara santai sahaja.
"Sebelum ni saya jumpa di kafe Jalan Dhoby relaks saja. Tanya @Marina_Ibrahims. Siapa-siapa nak jumpa most welcome (sangat dialu-alukan), sila," katanya.
Difahamkan situasi ini berlaku susulan tindakan admin media sosial TMJ yang menyekat Fahmi selepas aktivis itu menghasilkan lukisan grafik satira berkaitan TMJ.
Ia berbeza dengan maklum balas diterima Fahmi semasa melakar satira melibatkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila mendapat ucapan terima kasih berserta emoji bagus. Malahan ia turut dikongsi anak raja Pahang itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram