Ibu kecewa, sedih guru bagi alasan tak cukup staf 'lesen' pukul anak autisme


  • Tular
  • Ahad, 24 Jul 2022

Hasil pemeriksaan doktor, kesan lebam yang ditinggalkan oleh individu tersebut boleh dikatergorikan sebagai kes penderaan. — Gambar Hiasan

SEORANG wanita berkongsi kisah tentang kanak-kanak autisme yang berumur 7 tahun dipercayai didera oleh seorang guru Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sehingga meninggalkan kesan lebam kepada anak kecil itu.

Pengguna media sosial yang dikenali sebagai Mira Abil tampil berkongsi kisah tersebut di laman Facebook Autisme Malaysia tentang kejadian tersebut yang mana mangsa merupakan anak kandungnya.

Menerusi hantaran wanita tersebut, guru berkenaan pernah melakukan perbuatan yang sama kepada kanak-kanak itu dan ini merupakan kali kedua individu tersebut melakukannya.

Punca guru tersebut melakukan perkara sedemikian kerana dia mendakwa kanak-kanak berkenaan pada hari kejadian sedikit agresif dan mendorong individu itu untuk memukul anaknya sehingga meninggalkan kesan lebam yang teruk.

Menurut wanita itu lagi, apabila ditanya mengenai kesan lebam itu, guru tersebut seolah-olah cuba untuk memutar belit kenyataan dan ingin mempertahankan diri sendiri daripada dikenakan tindakan.

Malah guru berkenaan memberi alasan staf bertugas tidak mencukupi menjaga untuk murid-murid PPKI.

Hasil pemeriksaan doktor, kesan lebam yang ditinggalkan oleh individu tersebut boleh dikatergorikan sebagai kes penderaan.

Tinjauan di ruangan komen Facebook, rata-rata orang ramai memberikan pelbagai reaksi dan ada juga mahu pihak sekolah mengambil tindakan terhadap individu tersebut jika perkara itu benar-benar berlaku.

"Jika betul perkara itu berlaku sila laporkan kepada pihak yang bertanggungjawab dengan segera, supaya individu tersebut terus dikenakan tindakan," ujar Roslan Mustaqim.

"Alasan dia pukul budak itu sebab hari kejadian tak cukup staf dan anak tersebut sedikit agresif jadi dia ada lesen untuk pukul budak itu sampai lebam? Kalau saya buat laporan polis sahaja," soal Maria Yusoff.

"Budak itu autisme memanglah dia akan sedikit agresif, awak itu sebagai seorang guru dan penjaga patutnya ada ilmu untuk handle benda-benda macam ini, bukan terus jatuh hukum dekat budak itu," ujar Megat Shafiq.

"Saya sarankan puan pergi sahaja sekolah itu, buat laporan polis dan pihak berkenaan sebab bukti memang dah ada dan doktor juga sudah sahkan yang kesan lebam itu boleh dikatergorikan sebagai kes penderaan," kata Muhd Faiz.

Sehingga kini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berwajib berhubung kejadian itu dan Majoriti kini cuba mendapatkan maklumat lanjut kes tersebut daripada ibu kanak-kanak terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram