MPK perkenal lesen bela haiwan


  • 112
  • Ahad, 24 Jul 2022

Anjing yang dijual di kedai haiwan peliharaan tidak berlesen dan peraturan baharu ini bertujuan mengurangkan populasi anjing terbiar melalui akauntabiliti. — The Star

ANJING yang dijual di kedai haiwan peliharaan mungkin perlu dilesenkan pada masa akan datang, untuk menghalang pemilik meninggalkan haiwan tersebut dalam keadaan sakit sehingga boleh menyebabkan berlaku wabak penyakit.

Pengarah Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Azmi Muji berkata, idea itu sedang dibincangkan sebagai salah satu syarat baharu dalam penjualan haiwan peliharaan.

Lesen anjing tahunan majlis berharga RM10 disertakan dengan tag anjing berwarna serta sijil pendaftaran dengan butiran haiwan berkenaan.

"Apabila anjing atau anak anjing dijual, premis tersebut dikehendaki memindahkan sijil dan butiran pemilikan haiwan tersebut kepada pemilik baharu.

"Objektif kami adalah untuk mengesan dan tidak menggalakkan haiwan itu ditinggalkan," kata Azmi.

Ketika ini, anjing yang dijual di kedai haiwan peliharaan tidak berlesen dan peraturan baharu ini bertujuan mengurangkan populasi anjing terbiar melalui akauntabiliti.

"Memiliki haiwan peliharaan adalah sesuatu yang menggembirakan bagi sesetengah individu kerana mereka diberikan sebagai hadiah tetapi apabila anak anjing comel itu membesar, realiti penjagaan haiwan itu menjadi tidak terurus apabila kos memberi makan dan menyediakan rawatan perubatan meningkat.

"Tidak lama kemudian, anak anjing itu meningkat dewasa dan terbiar sahaja di jalanan," jelasnya.

Beliau berkata, daerah Klang mempunyai kira-kira 12,500 anjing liar dan pihak majlis sering menerima aduan daripada orang ramai berhubung isu ini.

Pegawai Kesihatan Persekitaran MPK, Zakaria Ismail berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan penggunaan hari lahir pemilik haiwan peliharaan sebagai tarikh luput lesen anjing.

Jelasnya, selalunya pemilik haiwan peliharaan mendakwa terlupa untuk memperbaharui lesen ketika pemeriksaan dari rumah ke rumah dilakukan.

"Kami mahu memastikan pemilik ingat untuk memperbaharui lesen anjing mereka, jadi ini adalah satu cadangan," katanya.

Presiden MPK, Noraini Roslan berkata, cadangan yang dibuat adalah atas dasar dan mesti dibentangkan untuk perbincangan menyeluruh, di mana kebaikan dan keburukannya perlu dipertimbangkan dengan begitu teliti.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, secara purata setiap tahun, pihak majlis merekodkan 1,300 aduan mengenai anjing yang menyebabkan gangguan orang awam.

"Ia adalah isu yang kompleks.

"Pemilik haiwan peliharaan yang tidak bertanggungjawab meninggalkan anjing mereka yang sakit atau cedera kerana tidak mahu membelanjakan wang untuk rawatan veterinar.

"Ada yang buang anjing mereka kerana haiwan itu tidak comel apabila mereka meningkat dewasa dan ia merupakan satu perbuatan yang kejam," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Klang, MPK, Selangor, Anjing, Lesen, Wabak Penyakit