Hujan lebat punca tanah runtuh, timbus jengkaut di Taman Bukit Permai


  • Massa
  • Ahad, 24 Jul 2022

Jengkaut itu terbalik sebelum ditimbus ​​tanah runtuh pada Sabtu. — Sinar Harian

SEBUAH ekskavator dilaporkan tertimbus dalam runtuhan tanah di Taman Bukit Permai, di Ampang, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Seorang penduduk, Mohd Sharif Jiran, 61, berkata, kejadian disedari selepas terdengar bunyi bising dari lokasi kejadian sekitar pukul 6.25 pagi.

Menurutnya, ketika itu dia baru selesai menunaikan solat subuh dan terdengar tanah runtuh dan pokok tumbang.

"Saya dengar tanah runtuh tapi tidak nampak jelas kerana hari masih gelap.

"Pukul 7.55 pagi, sekali lagi ada dengar bunyi tanah runtuh dan apabila keluar, saya dapati ekskavator yang berada di lokasi kejadian telah jatuh dan tertimbus.

"Ekskavator itu berada di lokasi berkenaan sejak minggu lepas bagi kerja pengukuhan cerun.

"Sebelum ini beberapa kali kejadian tanah runtuh berlaku di sini dan terburuk Mac lalu sebelum kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan bagi kerja pengukuhan cerun di sini," katanya pada Sabtu.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohamad Samat berkata, kejadian terbaharu itu dipercayai berpunca akibat hujan lebat pada petang Jumaat yang bermula pukul 5.30 petang hingga 12 malam.

Katanya, tiada mangsa terlibat dan tiada pemindahan penduduk dilakukan susulan kejadian itu.

Tambahnya, kawasan itu sedang dalam pemantauan oleh jawatankuasa bencana negeri dan daerah dengan skop kerja pemulihan cerun dimulakan Mac lalu membabitkan kos RM16 juta.

"Bagaimanapun, susulan kejadian tanah runtuh pagi tadi, kerja pengukuhan cerun dihentikan sementara bagi memberi laluan kerja pembersihan lokasi runtuhan dan membina longkang sementara bagi melancarkan aliran air dari atas bukit bagi mengelak takungan yang boleh memberikan kesan lebih buruk di lokasi kejadian.

"Kerja pengukuhan cerun akan disambung selepas kerja pembersihan selesai.

"Setakat ini, pemerhatian saya mendapati kerja pengukuhan cerun sudah berjalan sebanyak 30 peratus dijangka siap hujung tahun ini," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram