Kena tuduh curi RM100, remaja 15 tahun melecur teruk dibakar rakan di Kemaman


  • 112
  • Sabtu, 23 Jul 2022

Polis menahan enam individu berusia antara 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

SEORANG remaja lelaki terpaksa menahan kesakitan selepas badannya melecur kerana dipercayai dibakar beberapa rakannya dalam satu kejadian di Kampung Perasing Jaya, Jabor, di Kemaman, Terengganu pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, akibat kejadian itu, mangsa berusia 15 tahun melecur dari leher hingga ke bahagian belakang badan.

Menurut beliau, kejadian tersebut disedari bapanya selepas anaknya pulang kira-kira pukul 3 pagi dalam keadaan menangis dan meminta bantuan sebelum mendapati terdapat kesan melecur pada badan mangsa.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai disimbah cecair dipercayai minyak sebelum dinyalakan api menyebabkan badannya melecur.

"Kejadian dipercayai berlaku kerana beberapa rakan menuduh mangsa mencuri wang bernilai RM100 namun kejadian sebenar masih dalam siasatan," katanya pada Sabtu.

Susulan kejadian itu kata Hanyan, polis menahan enam individu berusia antara 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Ujian saringan air kencing mendapati semua mereka negatif dadah," katanya.

Menurut beliau, mangsa kini dirawat di unit rawatan rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram