Budak 5 tahun antara 5 maut kemalangan Alza-Hilux di Gerik


  • 112
  • Sabtu, 23 Jul 2022

Nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Raya Timur - Barat (JRTB) Gerik - Jeli berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Titiwangsa di Gerik, pada Sabtu.

LIMA individu termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun dilaporkan maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Raya Timur - Barat (JRTB) Gerik - Jeli berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Titiwangsa di Gerik, Perak pada Sabtu.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 5 petang itu melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Berdasarkan laporan bomba, kanak-kanak yang maut itu dikenali sebagai Zara Hana Ahmad Khomaini, 5 tahun.

Empat lagi mangsa lain ialah Mohd Rodhi Othman, 58 tahun, Ahmad Khomaini Abu, 30-an, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, Siti Aishah Mohd Rodhi, 32 tahun.

Selain itu, difahamkan terdapat dua lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, maklumat lanjut berkaitan nahas berkenaan sedang diperincikan termasuk identiti dan jumlah mangsa yang terlibat.

"Siasatan masih dijalankan dan mangsa yang terlibat sedang dikenal pasti," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram