Berang minta duit ketika sarapan, buruh ugut cincang isteri dipenjara 9 bulan


Tertuduh (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Khamis. — Sinar Harian

SEORANG buruh binaan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, Terengganu pada Khamis, selepas mengaku salah mengugut untuk mencincang isterinya menggunakan parang dalam kejadian pada 18 Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Hisyam Abdullah, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan bapa kepada enam anak dipercayai mengugut isterinya selepas berlaku perbalahan antara mereka.

Kejadian itu berlaku pukul 9 pagi di sebuah kedai kopi di Kampung Chendering di Kuala Terengganu.

Perbalahan itu dikatakan berpunca apabila, isteri tertuduh meminta duit ketika tertuduh sedang bersarapan menyebabkan lelaki berkenaan naik angin.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 19 Julai lalu.

Kes tersebut dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Khairi Mohamed Noor, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Ain Mohd Rani. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram