
SEBUAH bas persiaran yang terlibat kemalangan di Lebuh Raya Sultan Iskandar di Kuala Lumpur pada malam Rabu, dipercayai hilang kawalan selepas melanggar tembok konkrit pembahagi jalan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, bas persiaran yang membawa 24 penumpang itu dipercayai terbabas sebelum terbalik.
"Siasatan mendapati, bas yang dipandu telah hilang kawalan dan terbabas sendiri melanggar tembok konkrit pembahagi jalan lalu terbalik ke sebelah kiri di laluan sama.
"Siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, kemalangan mengakibatkan seramai 19 daripada 24 penumpang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Pada Rabu, sebuah bas persiaran yang membawa 24 penumpang dari Ipoh menghala ke Singapura terbalik dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah malam.
Kejadian mengakibatkan 19 daripada 24 penumpang bas berkenaan mengalami kecederaan ringan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram